Sekuel Dendam Suri: Tuntutan Berdarah (III)

Adam memasuki ‘alam asing’. Pelawaan Busroq untuk berdamai dan berganding bahu, menarik perhatiannya. Namun, dia masih berhati-hati. Disisipkan kayu cemeti di sisi pinggangnya. Cemeti yang pernah menusuk halkum Busroq. Kini, khidmat senjata yang sama mungkin diperlukan untuk menangani musuh yang sama.
Lokasi pertemuan adalah sesuatu yang baru. Namun, Adam tahu dan maklum, semua ini adalah imej lukisan yang pernah dihasilkan seseorang. Padang pasir luas, di tengah-tengah terdapat sepohon pokok kurma, menjadi teduhan oasis di bawahnya. Di tepi oasis itu, kelibat Busroq, duduk dengan angkuhnya, di atas kerusi hitam, bertatahkan kepala ular di kedua-dua belah pengadang tangan kerusi tersebut. Di sebalik jubah itu, terjelir lidah panjangnya, dengan mata merah bak saga.
“Aku tahu, kau akan ke mari, si bunian tak sedar diri! Hahaha!” “Aku amat bencikan kamu. Namun, aku sedia mendengar, jika usul kamu memberi manfaat kepada kaum kami.” Adam mendepakan kedua-dua lengan, sebagai tanda menerima dengan hati terbuka sekiranya Busroq mahu bekerjasama.
“Kau mahukan Shahrin, manusia bermata cacat itu. Benar?” “Ya, lebih daripada yang lain. Apa pula yang kamu mahukan, makhluk berjubah?”
“Aku mahukan balasan darah. Aku mahu Munsyi mati, dan terseksa bila melihat kesayangannya mati di depan mata. Hahahaha!”
“Jadi, kenapa mahu libatkan aku, hai makhluk jijik? Aku dengan matlamat aku, kamu teruskan dengan matlamat kamu.”
Busroq memancing Adam dengan sesuatu. “Jika benar kau tidak berminat untuk bersatu tenaga, kenapa kau selamatkan aku, hai bunian hijau? Cemeti di pinggangmu, sudah tertacap di leherku. Aku mati jika tidak kerana kau menariknya sebelum ajalku. Bukankah aku musuh kau dahulu? Atau, aku ada kepentingan bagi kau?”
“Aku percaya dendam kamu, bakal menguntungkan kami.” “Jadi, kau setuju untuk berganding tenaga, Adam?” Persoalan yang diselingkan dengan hilai gema ketawa Busroq. Bagaikan telah menang dalam penghujahan di situ.
Adam cuba menukar topik,”Di mana kau dapat modal lokasi ni? Seperti selalu aku lihat saja.” Sambil tersenyum, Busroq menjawab,” Manusia yang sama melukis padang pasir dahulu. Aku hanya perlu umpan dengan ugutan nyawa Natrah, terus sahaja diciptanya lukisan sebegini. Sini akan menjadi ‘kubu’ aku. Hahaha!”
“Munsyi?” “Oh, naiflah aku jika mengugut musuh aku sendiri. Fahmi, kau kenal?” Adam tersenyum, lalu berkata,”Aku tidak perlu kenal watak yang tidak penting. Cukuplah kamu dan aku dalam kumpulan ini.”
Mendengar jawapan itu, Busroq ketawa besar lagi. Persetujuan dicapai. Dia menepuk tangan tanda berpuas hati. “Aku mahukan kau buat sesuatu, Adam. Untuk melemahkan Munsyi. Dalam keadaan lemah, aku akan teguk setiap titik darahnya dengan mudah! Hahaha!” “Apa yang akan aku dapat daripada perjanjian ini?”
“Shahrin. Kau mahukan dia kan? Aku persembahkan dia untuk kau, selepas selesai dendam aku dengan Munsyi. Hahahaha!” “Apa yang perlu aku buat?”
“Kau bawa anak Munsyi ke sini. Biar Munsyi lemah. Kau ikat perjanjian dengan dia, supaya mensabotaj persahabatan dengan Shahrin, jika mahu anaknya selamat. Hahaha!”
Adam mengangguk. Dia lantas berpaling, dan terbang menghilang. Sempat Busroq memberi amaran kepadanya, “Jadilah anak jantan, Adam! Jika kau mahu berpaling daripada perjanjian ini, jangan kau berani menyekutukan aku dengan berpihak kepada mereka! Akan aku siat daging lembut kau dahulu, jika kau khianati aku!”
***
Pulau Langkawi. Destinasi percutian terakhir Ren dan Minji, sebelum berlepas pulang ke Korea. Minji berpuas hati dengan pelancongan yang berusia seminggu di Malaysia. Ditambah ‘rawatan’ menutup hijabnya, dia akui hidupnya semakin tenang tanpa gangguan makhluk halus yang selama ini mengganggu.
Dalam perjalanan ke Galeria Perdana, Minji cuba menyoal sesuatu kepada Ren berkenaan Natrah,” Oppa, oppanen hoksi Munsyi manurarang gwangei inna?(Abang, abang ada hubungan apa-apa dengan isteri Munsyi?)” Ren tersenyum, lalu menjawab dengan soalan,”Why? You noticed something?”
“Yes, she kept on looking at you. Like she wanted to say something, but she couldn’t because Munsyi is there with their son.” “She’s Natrah, my ex-girlfriend. But, I chose to leave Malaysia for some personal reason, and meet you, my love. Don’t you worry. She’s history, and you are my present.” Minji tersenyum gembira dengan penerangan Ren. Sekurang-kurangnya, hilang rasa tergugat melihatkan ada perempuan lain yang masih menaruh harapan kepada Ren.
***
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, 11 malam. Minji bersama bagasinya, duduk di ruangan menunggu sebelum menaiki pesawat untuk pulang. Dia sedikit terkilan, kerana dia bakal pulang bersendirian. Ren memaklumkan di hotel yang dia terpaksa melanjutkan tempoh berada di Malaysia, kerana hal keluarga. Lalu, pulanglah dia sendiri, menanti penerbangan ke tanah airnya. Minji risaukan Ren. Bimbang tidak dapat bertemu lagi selama-lamanya.
***
“Selesai untuk kawan kamu. Matanya sudah normal. Munsyi, kamu perlu perhatikan lagi perlakuan anak kamu dan sentiasa maklumkan pak cik. Pak cik akan pantau dari jauh, supaya tiada gangguan daripada makhluk itu.” “Baik, Haji Jalal. Terima kasih.” Munsyi lalu menyerahkan anaknya kepada Natrah untuk dibawa masuk ke dalam kereta. Masih ada yang perlu dibincangkan antara dia, Ren, dan Haji Jalal.
“Shahrin, kamu masih nampak benda halus? Nenek kebayan tu sudah mati, selesai juga.” “Rasanya, masih boleh nampak, haji. Tapi tak mengapa haji. Mungkin ada fungsi di masa hadapan.”
“Haji nak nasihatkan kamu berdua. Haji kenal siapa yang kamu tentangi. Bunian itu, pernah haji tangani sebelum ini. Mereka memang mencari waris raja sejak sebelum kamu lahir, Shahrin. Kaum yang sama. Cumanya, mereka menukar matlamat kepada kamu.”
“Saya tidak faham, haji. Maksud haji, mereka pernah cuba ambil seseorang selain saya, sebagai waris raja?” Haji Jalal mengangguk. Kemudian, menambah,”Pulanglah ke rumah kamu. Ada lagi rahsia lama yang ibu kamu belum ceritakan. Ibu kamu, cuba lindungi kamu. Sebab itu kamu tidak tahu.”
Ren mengangguk. Namun, dia tidak boleh terburu-buru. Janji melancong perlu dipenuh terlebih dahulu bersama Minji. Selepas itu, barulah dia akan pulang untuk penjelasan daripada Puan Latifah.
Haji Jalal meneruskan bicara kepada Munsyi,”Maafkan haji ya, Munsyi. Sebelum kamu datang sini, Shahrin ada sebut nama kamu. Jadinya, haji sudah panggil ‘roh’ kamu dan isteri semalam, soal siasat. Kamu berdua terlalu banyak berahsia. Elakkan, ya. Banyakkan berbincang dari hati ke hati. Demi rumahtangga kamu.”
“Maksud Haji Jalal? Saya ada masalah dengan isteri saya?” “Bukan. Cuma, nasihatlah dia secara berhemah. Dia dalam dilema. Bunian di sana sanjungi dia, kamu benci bunian itu. Dia konflik, dan dia tahu dia wajib patuh arahan kamu. Jadi, nasihatlah baik-baik. InsyaAllah, dia akan di pihak kamu.” Munsyi menerima nasihat dengan mengangguk.
“Lagi satu. Lepas semua ni selesai, haji harap kamu jarangkan berjumpa bersama isteri kamu di sisi. Kalian ada kenangan masa lampau yang berkaitan. Biar berjauhan, agar rindu terlarang tidak berputik.” Munsyi lalu memandang ke arah Ren secara spontan, namun pantas disangkal oleh rakannya itu.
“Eh, kau jangan macam-macam Mun. Kita kawan kot. Takkan aku nak ada hati lagi dengan wife kau. Sumpah, dah move on. Haji ni, nak buat kami gaduh ke apa?” Haji Jalal hanya tertawa melihat kerenah mereka berdua. Suasana kembali tenang. Namun, jauh di sudut hati Haji Jalal, ketenangan ini tidak akan berlarutan. Sesuatu pasti terjadi dalam masa terdekat.
***
Raja Muzaffar bersemayam di anjung rumahnya. Menikmati minum petang, di samping isterinya di sisi. Lalu, terdengar panggilan Adam dari luar rumah. Disambut baik oleh Pemaisuri Seroja, lalu membawa tetamu menghadap Raja Muzaffar. Sembah hormat diberi.
“Apa urusan kamu, Adam.” “Ampun tuanku. Patik perlu berbicara sendirian dengan tuanku.” Memahami maksud Adam, Permaisuri Seroja mundur ke dapur. Raja Muzaffar berdiri, lalu menghadap Adam yang sedari tadi duduk melutut di hadapannya.
“Tuanku, patik sudah berkhidmat sebagai orang kanan diraja untuk tiga raja berturut-turut. Usai 300 tahun usia patik, 250 tahun sudah digunakan semata-mata menjadi tangan kanan raja-raja kita, tuanku.”
“Jadi?” “Patik merasakan tindakan tuanku untuk tidak memaksa Shahrin datang dan belajar mentadbir bangsa kita, adalah satu kelemahan pentadbiran tuanku. Tidak pernah berlaku kelembutan sebegini dalam pemerintahan raja-raja terdahulu, tuanku. Ampunkan patik, tuanku.”
“Jadi, apa kamu mahu buat, melihatkan raja kamu yang lemah dalam keputusan ini?”
Tidak disangka-sangka, Adam bertindak pantas mencabut keris di pinggang Raja Muzaffar, lalu ditusuk ke dada rajanya itu. Raja Muzaffar tersentak, kelu dan kaget. Tidak disangka-sangka, orang yang paling dipercayainya, bertindak kejam terhadap raja sendiri.
“Adam,kau!” “Maaf, tuanku. Tuanku gagal di mata patik. Patik enggan lihat bangsa kami jatuh, kerana kelemahan orang asing yang gagal mentadbir. Patik sudah lama berkhidmat. Biar patik uruskan waris tuanku. Maafkan patik, tuanku.” Kata-kata maaf yang tiada gunanya. Ditekan dalam-dalam keris ke hati Raja Muzaffar. Perit, senak. Lalu, ditarik keluar keris tersebut. Raja Muzaffar terbaring, mata terbeliak. Darah membuak-buak keluar dari rongga dada. Matinya raja bunian itu, di tangan ahli paling dipercayainya. Adam mencetus revolusi. Dalam tangisan air matanya, dia berlari pergi, meneruskan misi seterusnya. Raykal Danish.
***
Ren tiba di perkarangan rumah ibunya. Dia tidak terus masuk, hanya melihat rumah besar yang telah lama ditinggalkannya. Demi menyelamatkan diri. Dia akur dengan permintaan ibunya, Puan Latifah, untuk datang ke rumah menjamu selera pada hari ini. Hal penting katanya.
Seperti biasa, dia disambut masuk oleh pembantu rumah. Duduk di sofa. Anehnya, terdapat seorang pemuda di hadapannya. Senyum kepadanya. Lelaki asing, namun lagak seperti tuan rumah gamaknya. Baju juga hanya baju pijama satin, seolah-olah tinggal di rumah tersebut. Salam dihulur kepada Ren.
“Assalamualaikum, Ren. Is, Iskandar.” Salam dan jabat tangan disahut. Tegang dan aneh dirasakan. Muka lelaki di hadapannya, ada iras dirinya sendiri. Siapakah?
Pelukan hangat dari belakang, disertakan dengan salam dari Encik Shahril, meningkah kejanggalan suasana di situ. Pertemuan julung kali antara empat personaliti di situ. Satu keluarga, tetapi cukup asing perspektifnya. Ternyata, Ren memerlukan penjelasan lanjut di sini.
***
Ren mengangguk faham. “Jadi, dahulu mak pernah dapatkan khidmat Haji Jalal untul lindungi Abang Is? Abang Is tinggal di mana selama ni?”
“Ya, nak. Is dijadikan anak angkat oleh keluarga Muslim di London. Semata-mata mengelak perjanjian waris raja bunian tu. Ayah tiri kamu sanggup gadaikan masa depan abang kamu, semata-mata mahu terus hidup di kampung bunian tu. Dia kalah bertarung untuk perebutan takhta, tetapi menawarkan Abang Is kamu, jika pak long kamu tiada zuriat. Raja sebelum pak long kamu pun setuju. Jadi, ayah tiri kamu terus hidup, mak terpaksa lahirkan Abang Is kamu di luar negara. Takut kandungan hilang dek kerana perjanjian jahat bunian. Mujur Haji Jalal bantu padamkan kesan untuk bunian tu ikut mak. Haji dah berjasa melindungi kamu.”
“Tapi mak, isu belum selesai. Mereka masih tuntut waris pak long nanti.” “Kamu tak sanggup ganti abang untuk jadi raja mereka?”
Ren berpusing memandang Iskandar, lalu berkata,”Hanya kerana kamu lagi tua, jangan kamu senang lenang membahasakan diri sebagai abang aku. Aku anak tunggal di sini. Dan, takkan sesekali aku tawarkan diri untuk menjadi raja mereka. Kau nak sangat jadi anak sulung kan? Ambillah title raja bunian tu sekali.” Iskandar hanya tersenyum hambar, lalu menghirup teh di meja yang telah disediakan pembantu rumah.
“Jika mereka datang menuntut waris, mak. Siapa yang mak rasa sesuai dijadikan ‘mangsa korban’?”
Puan Latifah menggeleng, lalu menjawab,”Mak sayang kamu berdua. Jangan tanya siapa pilihan. Mak tak mahu hilang kamu berdua.”
“Ren, kamu harus bersyukur si bunian tak datang segera dan tarik kau balik ke sana. Kalau mereka terdesak, kamu akan jadi pilihan utama. Kamu tahu kenapa? Sebab mereka takutkan ilmu Haji Jalal, dan aku sudah dilindungi dari dalam perut mak lagi, hasil bantuan Haji Jalal. Jadi, kamu bersedialah untuk yang terburuk dalam hidup kamu. Aku cuma boleh menyokong dari tepi sahaja.” Iskandar bangun, lalu berjalan menuju ke biliknya. Perbincangan tidak lagi relevan. Tiada kata putus dihasilkan. Ren bengang, walaupun kata-kata abang tirinya benar belaka.
***
“Assalamualaikum abang. Abang ambil Kal ke tadi? Cikgu kata ada parent dah ambil dia balik tadi.” Mesej daripada Natrah, menggusarkan hati Munsyi. Dia masih di pejabat, masakan Raykal Danish dijemputnya. Panel skrin ditekan, Natrah dipanggil melalui telefon.
“Ma, abang masih di pejabat ni. Bila masa abang jemput Kal, ma. Dia tak ada di tadika?”
“Ya, abang. Dia dah balik cikgu kata. Macam mana ni? Dia kena culik ke?”
“Tak mengapa sayang. Abang usahakan cara lain. Sayang balik dulu.” Panggilan dimatikan, lalu dia menelefon Ren.
“Bro, urgent. Anak aku kena culik. Ada orang mula buat onar.” Ren menerima panggilan tersebut, lalu berjanji akan menelefon semula jika ada perkembangan terbaharu. Dia menelefon Haji Jalal untuk meminta bantuan. Malangnya, panggilannya bagai dipintas. Suara lain menjawab.
“HAHAHAHAHA! Kau ingat aku, si bajingan? Kau ingat aku atau tidak!?” Ren kenal suara itu. Makhluk berjubah.
“Di mana kau sorok anak Natrah? Berani kau main kotor!”
Hilaian tawa Busroq, disusuli kata-kata provokasi,”Aku tahu kau takut. Datanglah. Minta bantuan haji ini. Bawa sekali Munsyi kawan kamu. Kita bertemu semula, bertarung secara adil di sini. Dua lawan dua! HAHAHAHA!”
“Dua lawan dua? Siapa sekutu kau? Berani kau mencabar kami. Patutnya aku cincang kau mati dulu.”
“Datanglah ke sini. Ada kejutan untuk kamu semua. HAHAAHAHA!” Panggilan terputus. Ren menarik nafas panjang. Dia seboleh-boleh enggan terlibat, kerana dia ada hal sendiri untuk diselesaikan dengan Adam. Mahu tidak mahu, terpaksa menolong. Dia mesej Munsyi untuk ke Johor, berjumpa Haji Jalal sekali lagi.
Moga-moga Haji Jalal dapat membantu mereka berdua menangani gangguan makhluk halus ini. Dari jauh, Haji Jalal membuka mata. Dipanggil isterinya untuk bersedia. Mereka bakal menjadi medium untuk ‘penghantaran’ dua jasad ke dunia asing. Perang bakal bermula.

Comments