DENDAM SURI (V): Aku Adalah Kamu, Kamu Bukanlah Aku

Mati akal. Segala macam cara telah Munsyi cuba untuk mencederakan makhluk berjubah. Ayunan cemeti hanya menembusi kepulan asap. Gelak tawa bergema. Mengejek setiap gerak langkah Munsyi. Peluh keringat membasahi diri.
“Kau tiada kaitan di sini. Jangan cetek akal untuk menjadi hero. Aku sarankan kau balik sahajalah manusia.” Katak-kata diselangi pukulan tepat ke muka Munsyi. Jatuh terbaring. Kayu cemeti dan obor masih di tangan. Pasir tanah tidak lut walaupun api obor mencecah tanah.
Munsyi memejamkan mata. “Fikir Munsyi, fikir! Pasti ada caranya,” getus hati memujuk diri yang telah putus asa. Sekilas pandang ke dalam penjara. Ren juga tergantung di sebelah Natrah. Natrah tidak sedarkan diri, tetapi tidak bagi Ren. Dia sekadar memerhati dalam kesakitan. Gigitan ular yang membelit mencucuk-mencucuk badan. Panas.
Munsyi bangun. Provokasi diperlukan. Diayunkan obor menghala ke makhluk berjubah. “Pengecut. Kau bertarung dengan manusia berjasad. Masih mahu menjadi asap menentang kami?” “Ada peraturan dalam perang ini? Tetamu tak diundang. Berperanglah mengikut cara ‘tuan rumah’. Hahahahaha!”
Munsyi membaca Fatihah, dua ayat terakhir Al-Baqarah, ayat Kursi dan empat Qul, lalu dihembus angin ke obor. Api semakin marak. Kayu cemeti dibakar dengan obor. Separuh berapi kayu tersebut. Munsyi lantas berlari ke arah makhluk berjubah. Tindakannya hanya diiringi hilai ketawa makhluk berjubah. Sekali lagi menjadi kepulan asap dan mengeras menjadi jasad ke belakang Munsyi. Makhluk berjubah berasa pelik. Tiada kibasan sebagai serangan. Hanya larian terus ke dalam.
Sasaran Munsyi bukanlah makhluk berjubah. Dia menerpa ke arah penjara sambil menjerit. Laungan Allahuakbar beserta terjahan ke arah palang kayu.
“Celaka kau manusia. Arghhh!” Kali ini berjaya. Palang kayu mula terbakar sedikit demi sedikit. Makhluk berjubah tersebut tidak sempat bertindak. Hanya meraung dan memegang kepala sendiri. Jasadnya bergabung dengan palang kayu yang menjadi ‘penjara’ di situ. Gua bergegar, gema raungan semakin kuat. Raungan disahut dengan raungan nenek kebayan di luar, berlatar belakangkan lolongan anjing sayup sayup di kejauhan.
Munsyi tersenyum. Namun, kegusaran tetap ada. Adakah penjara ini akan ‘membaham’ isi-isinya? Api semakin marak. Dia tidak dapat maju ke hadapan.
***
Ular terbakar dek kerana api yang marak itu. Belitan ular semakin longgar. Ada yang menghilang sikit demi sedikit, mungkin takutkan api yang terbakar. Aku kembali berzikir, menanti langkah seterusnya. Seperti yang dijangka, aku dan Natrah jauh serentak ke tanah. Natrah terkulai layu. Aku bangkit berdiri. Hanya aku yang dapat mengubah situasi. Bahang kepanasan dirasa. Matikah kami sini?
Tidak. Pantang ajal sebelum mati. “Maaf Natrah, aku perlu memegang kamu. Kita akan selamat insyaAllah.” Berbekalkan kudrat yang secebis, aku melaungkan azan. Baju ditanggalkan, lalu dijadikan selimut untuk Natrah. Syukur Natrah kecil. Cukup untuk aku dukung di belakang badan. Tamat sahaja azan, aku berdiri. Dengan bacaan bismillah, aku melaung perkataan keramat Allahuakbar!
***
Tidak semena-mena, Munsyi dilanggar oleh sesuatu dari arah penjara terbakar. Bergolek ketiga-tiganya. “Ren! Alhamdulillah syukur. Bagus, mari pergi. Gua ini tidak dapat bertahan dengan lama lagi. Kita mesti cepat.”
“Kau gila Munsyi. Apa kau buat di sini? Apa yang Adam janjikan untuk kau buat semua ni?” “Pahala. Doakan kesejahteraan aku. Sudah cukup berbaloi.” Mereka berdua tersenyum. “Adam suruh aku tinggalkan Natrah. Kau menjadi misi aku kali ni.” “Kau gila? Natrah akan mati kalau tak diselamatkan dulu.” Tangan Natrah diserahkan kepada Munsyi. Munsyi menolak. Diangkatnya Ren ke atas bahu untuk didukung. Ren meronta-ronta. Dia rela dikorbankan.
***
“Ma, lukisan sampai.” Puan Nasuha menerima lukisan dari Galeria Andamas. Disuruhnya kepada pekerja lori untuk meletakkan di luar, hadapan rumah. Betul-betul di atas tempat bakar sampah.
“Eh, ma. Apa ma nak buat. Abang Fahmi kata jangan kacau lukisan tu.” “Za, ambil minyak tanah dan lighter papa . Minyak tanah di stor, lighter ada di gazebo. Adalah tu papa simpan di situ.”
“Tapi ma…” “Jangan degil. Ma tahulah apa ma nak buat,” menjengil mata Puan Nasuha melihatkan kedegilan anak dara bungsunya. Syaza berlalu pergi menurut kata ibunya.
***
Syaza ketakutan. Bunyi pelik dari dalam stor. Seperti dua ekor binatang buas sedang bercakaran. Berdentam dentum pintu bilik stor. Syaza berlari kembali kepada ibunya.
“Ma,ma! Takut…” Ditariknya lengan baju Puan Nasuha sambil menunjukkan ke arah stor. Stor rumah mereka berasingan bumbung, di belakang rumah. Jarang orang pergi ke situ. Encik Asmawi sahaja yang selalu menjenguk, untuk mengambil barang pancing dan peralatan bercucuk tanam.
“Kamu ni dah kenapa? Dah jom pergi sama-sama.” Tiada sebarang bunyi kedengaran. Aneh, getus hati Syaza. “Betul ma. Tadi pintu tu bunyi dari dalam. Takkan hantuuu kot.”
“Tengah hari mencanak, hantu apanya. Kamu tu yang hantunya, dah tengah hari baru bangun. Gaya macam ni, tak dapat menantu lah mama gamaknya.” Syaza tersengih.
***
Puan Nasuha tidak mengoyakkan bungkusan lukisan tersebut. Terus dibakar bersama isinya. Dalam kemarakan api pada lukisan, lolongan jembalang kedengaran dalam semak di belakang rumah. Syaza terkejut, cuba menegur ibunya.
“Shuh. Pedulikan. Banyakkan berdoa. Baca surah-surah yang penting. Masuk rumah nanti basuh kaki, pergi mandi. Kita keluar melawat Along.” “Baik, ma.”
***
Puan Nasuha bermimpi. Suara kedengaran memberi arahan supaya bangun dan bersedia. Bangun bertahajud, hajat, dan taubat. Serta berzikir sampai Subuh. Agar dipelihara isi rumah sehingga esok pagi. Turut diarah membakar apa sahaja barang yang sampai ke rumah untuk menolak bala. Dia mengejut suaminya, dan menceritakan mimpi gelap bersuara itu. Encik Asmawi turut serta dalam ibadah yang disuruh. Sebelum ke tempat kerja, Encik Asmawi mengingatkan isterinya supaya menurut sahaja mimpi, dan memberitahu di mana letaknya minyak untuk membakar barang yang dikatakan akan sampai itu. Lega Puan Nasuha. Berharap agar semua seksaan anaknya ini tamat.
***
“Hello. Ya, Man. Apa halnya?” Terkejut dengan perkhabaran Man. “Rumah Sarah terbakar? Bila? Apa jadi?” “Entah tuan. Tiba-tiba saja. Rumah dia jauh daripada rumah lain. Saya tengok sajalah tadi. Hangus habis.” “Panas sangat ke harini sampai terbakar? Man, kau pergi tengok dekat. Tanya polis jika perlu. Ada mangsa atau tidak kebakaran tu.” “Baik tuan. Balik jangan lupa belanja tuan. Seram-seram ni. Dah lah dengar macam-macam bunyi masa terbakar tu. Berhantu betul dia tuan.”
Panggilan ditamatkan. Fahmi bingung. Dia lalu menghantar mesej kepada Syaza.
“Salam Syaza. Lukisan dah sampai? Jangan bawa masuk tau. Bahaya. Lukisan tu keras.”
Mesej balas diterima. “Abang Fahmi, sorry. Sampai-sampai je lukisan, mama bakar. Seram Za tadi. Dengar ada benda menjerit kat belakang rumah masa mama bakar lukisan. Memang keras bang lukisan tu.”
Fahmi mengucap. Sungguh ada kaitannya. Terbakarkah Suri bersama lukisan dan dendamnya?
***
Munsyi membuka mata. Belum sempat dia bangun, badannya seakan diangkat ke udara. Sakit tekak, terawang-awang.
Adam berdiri di tepi katil. Tangan disisip ke belakang kemas. Munsyi bagai diserang dari jauh. Adam tersenyum penuh makna.
“Munsyi, Munsyi. Kau degil. Aku dah katakan pada kau. Shahrin motif kita. Shahrin! Kenapa Natrah yang kau bawa pulang?!”
“Dengar dulu penjelasan aku. Please, bawa aku turun. Kita berbincang.”
“Mungkin kau perlu ke tempat aku, menjawab semua soalan Yang Mulia kami? Kau ingat aku bermain-main? Kau mengambil kesempatan terhadap peluang yang aku berikan!” Munsyi semakin sesak nafas. Tidak dapat menjawab dan mempertahankan diri.
Adam mengarah tangannya, menunjukkan ke arah almari baju. Munsyi terpelanting. Terduduk. Patah pintu almarinya.
“Aduh….” Tanpa berlengah, Munsyi berkata,”Kau yang tidak bersyukur Adam! Ren perlukan seseorang di dunia ni untuk bantu lepaskan diri daripada tangkapan polis. Jangan kau bawa dia lari ke alam kau untuk merumitkan keadaan di sana. Kau ingat aku bodoh? Aku tahu siapa kau selepas kau datang ke sini berjumpa aku.”
Adam tidak memberikan sebarang reaksi. Hanya mendengar. “Diari Ren menceritakan segalanya kepada aku. Polis tak jumpa buku tu. Aku ambil dalam kereta dia. Allah tolong dia kali ini.” Nafas ditarik dalam-dalam, menahan sakit jatuh dari udara.
“Dia mungkin berharga buat kau di sana, tapi dia masih di sini. Natrah boleh membantu dia memberi keterangan, supaya polis tak tangkap dia akibat kemalangan Natrah.”
“Kau ingat Raja Muzaffar suka urusan Ren tidak selesai di sini sebelum kau ambil dia? Sedangkan dia pun pergi tinggalkan keluarga. Ini nak tambah pula kau mahu ambil Ren secara paksa? Kau ingat keluarga Ren diam saja?”
“Kau mahukan Ren, kau pergi ‘ambil’ dia sendiri di ‘sana’. Tugas aku dah selesai di sini.”
“Tidak, menyelamatkan Natrah adalah tugas Shahrin. Kau yang lengkapkannya. Jadi, Shahrin gagal. Dia masih terikat dengan kami.”
“Bukan urusan aku lagi. Jangan kau ganggu Natrah lagi. Jika masih ada gangguan makhluk halus, biar aku yang bantu Natrah. Kau boleh berambus daripada hidup kami.”
Panggilan telefon diterima. Munsyi mengambil telefon bimbitnya. Adam hilang dari situ. Pergi tanpa tokok tambah bicara.
***
“Celaka kau manusia! Akan aku bunuh kamu semua!” Tumpuan Ren dan Munsyi kembali ke arah makhluk berjubah. Tiada lagi hijab hud kepala menutupi rupa makhluk jijik itu. Separuh terbakar jubah. Kepala berbentuk ular. Lidah terjelir. Mata merah menyala. Badan bak manusia biasa, tegap. Jarinya panjang berkuku hitam tajam.
“Munsyi. Aku merayu. Bawa Natrah pergi. Kau dukung dia, lari selaju mungkin. Biar aku menjadi halangan dia, tamatkan pertarungan dengannya.” Munsyi akur. Ren diturunkan. Berdiri longlai. Kayu cemeti beralih hak milik. Munsyi tidak yakin dengan Ren, melihatkan keadaannya yang lemah.
“Kau pasti?” “Janji Allah itu pasti. Dia akan tunjukkan jalan yang lurus.” Munsyi mendukung Natrah dengan berat hati.
“Satu, dua, tiga! Allahuakbar!” Laungan disusuli larian Munsyi. Syukur Natrah kecil dan ringan sahaja. Bagaikan ada kuasa tambahan untuknya.
Makhluk jijik itu cuba menerkam. Lidahnya cuba mencapai kepala Natrah yang terbaring di bahu Munsyi.
Pakk! Balingan kayu cemeti tepat ke pipi makhluk itu. Ren berjaya mematahkan serangan dari jauh. Makhluk tersebut meraung dan bergolek-golek di tanah. Ren berjalan terhenjut-henjut mendekati. Dicapainya kayu cemeti semula. Kayu cemeti dipegang kejap dengan kedua-dua tangan, diangkat tinggi-tinggi. “Allahuakbar! Matilah kau syaitan!”
Tusukan tepat ke leher makhluk itu. Meraung panjang, mata terbeliak. Suasana gua semakin panas dan bergegar kuat seiring tusukan itu berjaya dilakukan oleh Ren. Ren tidak terus pergi. Hanya melihat ke dalam mata makhluk itu.
Ren berada aneh. Makhluk itu seperti tidak bernyawa, tetapi masih meninggalkan senyuman menyeringai. Seperti ada udang di sebalik batu. Matikah dia? Bagaimana untuk memastikan dia sudah mati?
“Nak, cepat nak…. Gua nak runtuh. Mari~” Ren berpusing. Nenek kebayan berada di tepinya. Mendekati sedikit demi sedikit. Ren tunduk, lalu mencabut kayu cemeti. Nenek ini mungkin halangan terakhir.
“HIIHIHIHI~ Nak, nek tak pandai lawan-lawan. Jangan pukul nenek, HIHIHIHI~”
“Nek, tolong saya. Saya mahu pulang. Boleh nek tunjukkan ‘jalan’?” “Nek lapar nak….Nek lapar. Dah lama tuan tak bagi makan….”
“Nek tolong saya sekali. Saya bagi sekali sahaja nek makan. Nek nak makan apa?”
“DARAH KAMU ANAK MUDA. HIHIHIHIHI~~” Tersentak dengan jawapan nenek kebayan itu. Setelah berfikir, Ren menjawab, “Baik nek. Sikit saja tau. Tapi bawa saya pulang dulu.”
“HIHIHIHI. NENEK SUKAAA KAMU~~”
Ren menutup mata. Berharap bukaan mata seterusnya tamatlah segala masalahnya di ‘dunia luar’ ini.
***
“Hello tuan. Sah, ada seorang rentung. Identiti tidak dapat dikenal pasti. Saya rasa itu Sarah tuan. Jiran-jiran cakap, dia tinggal seorang di rumah tu.”
“Baik Man. Terima kasih.” Berita kematian Suri sebagai selingan kepada berita gembira yang baru diterima. Mesej dari Syaza. Natrah sudah sedar. Fahmi sedang memandu ke hospital untuk melawat Natrah.
***
Natrah terbang ke suatu tempat yang asing. Hanya menurut pergerakan lelaki berjubah hijau, berkopiah tanpa sepatah kata. Istana zaman dahulu, luas padang berlatar belakangkan bukit bukau, dan sesuatu yang tidak asing baginya. “Ini rumah yang aku lukis. Di mana ni?” Sehinggalah dia bertemu dengan seseorang yang tidak dikenali. Lelaki yang dihormati oleh ‘penunjuk jalan’ berjubah hijau tadi. Seperti seorang raja.
“Terima kasih untuk lukisan indah kamu. Datanglah bila-bila masa yang kamu mahu. Sebutlah Adam dalam hati, di malam jumaat. Banyak lagi yang boleh kita bincangkan.”
“Pulanglah, Natrah…”
Natrah membuka mata. Bagaikan mimpi dalam mimpi. Kini di alam nyata. Di hospital. Dia tersenyum. Semuanya bakal berakhir.
***
Ren membuka mata. Dipandang sekeliling. Ibu ayah memandangnya penuh rasa gembira dan lega. Tiada gari di tangan, malah dia juga tidak pernah sedar yang dia menjadi suspek kemalangan Natrah. Di sisi katil, Natrah dengan kerusi roda, bersama Munsyi, Encik Asmawi, Puan Nasuha, dan Syaza.
“Wah, dah macam reunion.” Ayat Ren disusuli gelak tawa. Fahmi hanya memandang dari jauh, di luar bilik melalui cermin lepas di pintu. Cukuplah dia tahu yang Natrah sudah selamat. Dia berlalu pergi.
“Ren, saya Natrah.” “Ya, saya tahu. Awak sihat?” “Soalan itu, patutnya untuk awak, Ren. Saya baik sahaja, alhamdulillah.”
“Syukurlah ya, Natrah, pak cik, mak cik. Saya baik juga. InsyaAllah, esok lusa keluarlah ni.”
Sambil tersenyum manis, Natrah menambah,”Terima kasih banyak-banyak Ren. Saya terhutang budi, untuk segalanya.” “Sama-sama. Jangan lupa Munsyi juga.” Syaza mencelah,”Kenapa terima kasih Doktor Munsyi?”
Natrah, Ren, dan Munsyi hanya tersenyum. Rahsia di sebalik akal manusia, hanya mereka yang tahu. Semuanya baik sahaja.
***
Enam tahun kemudian. Munsyi menjemput anak lelakinya di tadika. Dia bercuti hari itu. Sengaja mengambil cuti sempena hari lahir anaknya yang kelima. Tidak perlu menunggu isterinya keluar waktu tengah hari untuk menjemput Raykal Danish.
“Raykal, senyum saja. Ada cerita untuk papa?” “Balik nanti Kal cerita ya papa.”
Riang hati melihat kegembiraan anaknya. Mungkin banyak hadiah dia dapat di tadika agaknya, teka Munsyi.
Sesampainya di rumah, Raykal terus duduk di sofa ruang tamu. Dibukanya beg sekolah, lalu dikeluarkan satu patung mainan berbentuk raksasa. Berjubah penuh bermata putih. Munsyi sudah merasa pelik. Belum pernah dia melihat patung mainan sebegitu di pasaran.
“Kal dapat banyak mainan papa. Cikgu bagi coklat, kotak pensel, buku. Tapi ni paling best papa. Mainan!Hehe,”
“Siapa bagi mainan tu Kal?” “Entah papa. Tadi masa tunggu papa, ada uncle bagi, dengan kad ni.”
Munsyi mencapai kad ucapan hari lahir anaknya. Dibuka, lalu dibaca.
“AKU ADALAH KAMU, KAMU BUKAN AKU”
Terbeliak mata Munsyi. Cuba memandang anaknya semula, tetapi…
“Hihihihi~~~Hmmmm…..”
**************

끝 (Tamat)

Comments