Helang Juga Ada Naik Turunnya.... (Bahagian 3 Aku, Korea, Bunuh Diri)

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Ucapan mesra pemula kata, menjemput ukhuwwah antara kita. Nukilan kali ini berkisar kepada kisah aku pada tahun 2012 sehinggalah kehidupan yang aku lalui sekarang (2017). Mungkin ada di kalangan pembaca akan merasakan bahawa nukilan ini lebih kepada fiksyen kerana tidak 'straight to point' dan menyelit unsur puitis. Namun, suka untuk saya jelaskan di sini bahawa kisah dalam memori kita pasti ada unsur tolak tambah kerana ianya ditulis berdasarkan kisah silam yang sudah jauh meninggalkan kita. Maka, di kesempatan ini saya ingin memohon maaf sekiranya kisah ini terdapat tokok tambah penambah perisa yang membuatkan kalian kurang senang. Saya hanyalah manusia kerdil di 'mata' Yang Atas sana, jadi marilah kita sama-sama berdoa agar kehidupan kita sentiasa diredhaiNya selalu.

Disember 2012. Ruang pelepasan Incheon International Airport. Kira-kira jam 10 pagi waktu tempatan. Bulan ini aku ambil hampir dua minggu berjalan ke sana ke sini berseorangan di dunia sonata. Mengenang dan muhasabah diri sepanjang 6 tahun perjuangan hidup, semata-mata untuk segulung ijazah. Semata-mata untuk mempersiapkan diri untuk masa hadapan. Semata-mata untuk melihat air mata kegembiraan ibuku, dan pelukan hangat ayahku atas kejayaanku. Malangnya, aku tidak dapat merealisasikan impian itu. Dua minggu ini adalah satu masa yang sangat perlahan bagi aku. Masa yang Allah berikan kepada aku agar melihat di mana silapnya, di mana khilafnya, di mana terpesongnya langkah yang aku lukis dalam perjalanan hidupku.

Setelah disahkan aku tidak dapat bergraduasi seperti mana pelajar-pelajar Uni Y yang lain, aku memohon kepada pegawai latihan di kedutaan untuk menangguhkan tarikh penerbangan selama 2 minggu untuk menguruskan pemergian pulang ke tanah air. Syukur penerbangan ganti ke Malaysia melalui M Airlines dapat dijadualkan 2 minggu kemudian tanpa perlu penambahan tambang/kos perjalanan. Seharusnya aku menamatkan akaun bank di sana supaya tidak dibekukan simpanan. Disebabkan hati dan jiwa yang agak serabut di kala ini, aku pergi tanpa penamat yang baik. Akaun dibiarkan kerana aku yakin, berapa sangatlah wang yang ada. Banyaknya habis pada sewa bulanan rumah dan sara hidup bulanan. Khilaf juga kerana aku tidak menabung awal. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan.

Disember 2012 jugalah pertama kali aku ber'skype' bersama ibu ayahku beserta linangan air mata. Ayah mengusulkan bahawa aku memohon untuk penambahan 1 semester untuk menamatkan dua subjek Matematik Kejuruteraan yang menjadi sebab kegagalan untuk graduasi. At all cost. Ayah sanggup tanggung. Aku hanya menggelengkan kepala sambil menangis. Aku sudah tidak mampu mengulang subjek itu, sesudah 2 kali percubaan tetap sama. Jatuh air mata jantanku. Aku jelaskan kepada mereka bahawa semua itu sudah dipohon. Malah, pihak penaja juga sedia menerima apa-apa usul yang ingin dilanjutkan. Namun, pihak universiti mempunyai polisi yang ketat untuk menjaga kualiti graduan dan imej mereka. Pihak imigresen menolak permohonan atas dasar pihak universiti juga enggan menyokong rayuan aku. Maka, berdirilah aku di sini. Menanti panggilan di corong pembesar suara. Panggilan penerbangan pulang ke tanah air.

Pegawai latihan tersebut bersedia meluangkan masa untuk ke lapangan terbang untuk melihat aku pulang. Memandangkan aku meminta penundaan tarikh penerbangan, susuk tubuh sepi ini hanya bersendirian melihat gelagat manusia di sekitar ruang pelepasan ini. Tersenyum kelat aku sendirian. Beginilah rasanya sepi dan sunyi di kala ujian mendatang hebat pada kita. Ya Allah, jadikanlah aku manusia yang kuat untuk hadapi hari yang mendatang ini.

Suhu sekitar -15 darjah Celcius. Suhu di dalam pesawat M Airlines ini lebih terasa kehangatannya berbanding suhu luar yang mampu membuatkan sesiapa sahaja kedinginan jika tidak berpakaian sesuai. Sampai sahaja aku di Lapangan Terbang KLIA, aku menuju ke tandas untuk menukar pakaianku. Dari -15 ke 27 darjah, mana mungkin sesuai pakaian jaket seolah-olah 'Inspector Gadjet' ini. Ruang ketibaan dilalui, 3 susuk tubuh yang aku kenal sudah terpacak menanti aku di situ. Aku hanya memandang sekilas, lalu menundukkan pandangan daripada mereka. Lagak si pesalah apabila keluar daripada kandang penghakiman. Maaf ayah, maaf ibu. Maaf kakakku. Aku yang lagaknya seperti helang terbang di angkasa, harini pulang ke 'sarang' dengan patah sayapnya. Resam roda kehidupan. Bila di atas, ingatlah bahawa ada yang lagi atas. Dia Yang Esa di atas sana. Bila aku di bawah ini, bagaimanakah lagaknya sekarang? Mohon dijauhkan daripada sifat takbur, ya Tuhanku.

Perjalanan pulang ke utara sangat hening. Tiada banyak borak bicara antara aku dan kedua ibu bapaku. Ingin melontarkan bicara, kelu tak terkata. Bimbang bukan masa yang baik untuk menongkah kelesuan suasana di dalam kereta. Aku tidak dapat tidur dalam penerbangan pulang, tidak pula rasa sesuai untuk tidur dalam perjalanan ini walaupun letih. Kurasakan bukan masa yang sesuai untuk menunjukkan keletihanku.

Usai selesai jemaah isyak di rumah, ayah membuka bicara. Perlunya dibincangkan hala tuju hidup aku segera. Kerjakah aku berbekalkan diploma yang ada? Sambungkah pelajaran aku di sini pula? Atau pelan ke-3 menyusul? Ayah bimbang sekiranya menyambung pelajaran akan menimbulkan rasa trauma kerana baru sahaja pulang ke Malaysia. Enggan mendesak anaknya yang seorang ini. Bagi aku, sudahlah bersalah kerana gagal, dibimbangkan pula aku. Layakkah aku? Itulah hati si tua. Buruk mana pun anaknya, anaknya inilah tanggungjawab dunia akhiratnya. Baik buruk anak mereka, itulah salah satu pemberat neraca mereka di 'sana' nanti.

Aku yakin, aku perlu mula kembali daripada kosong. Aku perlu teruskan kehidupan dengan pembelajaran. Tidak kiralah, formal atau tidak. Aku sudah pasti, semenjak bermuhasabah diri di sana lagi, aku masih belum bersedia untuk menceburkan diri ke dalam arena pekerjaan. Perjuangan belum selesai. Aku juga pasti ayah akan lebih setuju sekiranya aku memilih untuk mengulang pembelajaran pada jurusan sarjana muda kerana dia membesar dalam suasana mementingkan ilmu. Keluarga kami sememangnya meletakkan ilmu sebagai medium terbaik mewakili hidup di dunia ini. Aku yakin ayah tidak mahu aku berasa rendah diri berbanding anak-anaknya yang lain, yang majoritinya menamatkan pengajian pada tahap sarjana muda (majoriti kerana aku masih ada 3 adik. Abang-abang dan kakak-kakak kesemuanya tamat sarjana muda, dan ada yang meneruskan pengajian).

Maka, ayah menyarankan aku untuk mencari institusi pengajian swasta yang menawarkan bidang berkaitan/bersesuaian dengan jurusan diploma aku di Korea. Seminggu berlalu, dua tempat dijejaki. Kolej Universiti T di negeri Terengganu. Manakala pilihan kedua adalah Universiti K di Alor Gajah, Melaka. Memandangkan ayah seorang pendidik di institusi pengajian tinggi, ayah mempunyai kenalan di kedua-dua tempat tersebut. Tambahan daripada ayah, ayah berasa tidak sesuai untuk ke Kolej Universiti T kerana untuk mengelakkan cakap orang di belakang, menggunakan 'kabel besar' untuk ke sana dan sebagainya. Lalu, kami bersetuju untuk memohon kemasukan ke Universiti K di Melaka. Alhamdulillah, aku diterima masuk untuk belajar di situ walaupun masa untuk persediaan ke sana hanyalah sehari dua sahaja lagi.

Aku membuat rayuan untuk menangguhkan pengajian seminggu untuk persediaan/penempatan (rayuan untuk tidak turut serta ke minggu orientasi). Selepas diluluskan, bersiaplah aku untuk terus belajar. Tiada masa untuk bermurung. Tiada masa lagi untuk mengenang nasib. Perubahan itu adalah untuk diri sendiri. Aku menjangkakan bahawa Ahad sehari sebelum ke Melaka, aku dan kedua orang tuaku akan bermusafir ke sana dari utara, kampung halamanku. Sangkaanku meleset sama sekali. Ayah menyuruh aku menguruskan sendiri tiket perjalanan ke sana, dan pandai-pandai untuk hidup selepas itu (elaun sara diri masih diberi sudah pasti). Terkedu sebentar, tetapi aku pasti ada natijahnya. Peluang ini adalah peluang kedua aku, sudah pastilah aku perlu mengorak langkah sendiri untuk mengambil peluang ini.

Dengan bantuan abang ipar aku di Nilai, aku dijemput di terminal dan terus dihantar ke sana. Universiti K. Universiti yang sedikit terpencil di dalam daerah Alor Gajah. Perkampungan orang asli juga ada di persekitaran. Walau bagaimanapun, prasarana yang disediakan sangat sesuai untuk pembelajaran anak-anak muda seperti aku. Tiada gangguan kesibukan kota di persekitaran. Namun, aku agak terpinga-pinga untuk ke mana, kerana tempat itu amat asing bagi aku. Ditambah lagi tidak turut serta dalam minggu orientasi, di mana bilik kuliah, di mana kawan-kawan sekuliah semuanya tidak diketahuiku. Bagai rusa masuk kampung jadinya.

Berdasarkan jadual pembelajaran semester pertama yang telah disediakan oleh pegawai pengurusan pelajar, aku mula cuba-cuba 'explore' kawasan kampus universiti baru aku itu. Akhirnya, dapatlah aku berjumpa dengan dua lelaki, rakan sekuliah agaknya, di bilik kuliah tingkat 3 untuk subjek Analytical Chemistry. Putih, tinggi lampai, berkaca mata bujur besar. Itulah J, berasal daripada Johor tetapi menetap lama di Selangor dan Negeri Sembilan. Seorang lagi, berkulit hitam manis, berbadan sado, sedikit rendah daripada aku. Aku namakan dia A. Salam perkenalan dihulur oleh mereka, melihatkan aku keseorangan dan tidak pernah dilihat ketika minggu orientasi. Tidak syak lagi, kelas itu kelas yang betul untuk aku hadiri. Cuma, pensyarah tidak mengumumkan bahawa kelas belum bermula pada hari tersebut.

Bermulalah sesi bersuai kenal antara kami. J juga merupakan pemain bola keranjang seperti aku. Senang hati aku apabila dia mengajak aku turun petang nanti untuk berkenalan dengan senior-senior yang bermain bola keranjang di situ. Semakin suka aku dengan universiti tersebut, memandangkan fasiliti bersukan yang aku sukai turut ada di sana. Manakala A aku lihat seperti seorang yang matang, dan warak. Kelihatan dua kesan lebam di dahinya. Jangkaan aku amat tepat setelah kami tinggal di hostel bersama pada semester kedua dan ketiga. Kami juga setkan untuk menjadi roomates bersama J, dan seorang lagi sahabat seangkatan (sama batch) untuk semester kedua dan ketiga (semester 1 penempatan diberi secara random oleh pegawai hostel universiti). Merekalah sahabat bertiga yang kekal sehingga sekarang berhubungan dan berjumpa walaupun sudah bergraduasi pada hujung tahun 2016. Aku bersyukur dapat berkenalan dengan mereka sepanjang pengajian aku di Universiti K.


Akan kunukilkan lagi kisah sambungan kepada ini. Maaf tidak ditamatkan dalam satu posting sahaja. Mungkin dalam 3 bahagian akan ditamatkan kisah kehidupan selepas gagal bergraduasi di perantauan ini. Bahagian 2 mungkin akan menyelit berkenaan kisah percintaan di alam pembelajaran aku. Namun, memandangkan aku sudah berumah tangga, kemungkinan aku hanya akan meneruskan ke bahagian 3 sahaja atas niat untuk menjaga hati org tersayang di sekeliling aku (juga pembaca confession secara santai di sini). Sekiranya tiada sambungan di dalam minggu ini, bermakna posting seterusnya akan berkisar kepada bahagian 3 sahaja (kehidupan selepas graduasi, alam pekerjaan).

Terima kasih kepada admin kerana membenarkan nukilan ini disiarkan. Kalau ada sumur di ladang, boleh kita menumpang mandi. Kalau ada umur yang panjang, boleh kita berjumpa lagi di ruangan nukilan hati ini.



Comments