Helang Patah Sayap (Prolog)

"Assalamualaikum dan salam sejahtera. Salam 1 Malaysia. Tuan-tuan dan puan-puan, kami mengalu-alukan anda untuk penerbangan MH014. Saya, Kapten Muhamad Razif akan mengendalikan penerbangan ini yang dijadualkan pada 12:05 pagi 4 Januari 2007 dan dijangkakan tiba ke destinasi kita iaitu Lapangan Terbang Incheon, Korea pada pukul 7:30 pagi waktu tempatan. Cuaca dijangkakan baik sepanjang perjalanan ini, kami mengharapkan keselesaan anda dalam menaiki penerbangan Malaysia Airlines kami sebentar lagi. Bagi pihak kru kabin dan penerbangan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kerana memilih Malaysia Airlines sebagai transportasi anda ke Korea Selatan pada malam ini."

     Alunan suara kapten penerbangan Malaysia Airlines kedengaran memecah hening menunganku ke luar tingkap. Suasana di dalam kapal terbang sudah dalam keadaan tenang memandangkan semua penumpang sudah bersedia untuk penerbangan ke Korea Selatan. Aku masih seakan-akan tidak percaya dengan apa yang sudah dan bakal aku lalui dalam hidup aku. Pengalaman dan perasaan ini, bagaikan mimpi buat aku. Laluan sudah terbuka untuk aku meneruskan pelajaran ke negara Asia Timur ini sangat-sangat aku impikan sejak aku berusia 14 tahun lagi.

     Aku, Firman Muslim. Di kala kehangatan Piala Dunia 2002 yang diadakan di Korea Selatan dan Jepun, aku mula mengenal dan membuka mata terhadap kehadiran negara Korea yang apabila dibandingkan dengan Jepun pada ketika itu, masih belum terkenal secara besar impaknya di mata dunia. Melihat kepada kebangkitan dan kesungguhan pemain bola sepaknya, aku mula mengambil tahu berkenaan Korea, lebih-lebih lagi mereka berjaya ke separuh akhir kejohanan tersebut. Bermula dengan mengenal pemain-pemain bola sepak terkenal dari tanah Asia Timur itu, aku mula berjinak-jinak dengan informasi-informasi lain yang boleh aku jadikan modal kepada pengetahuan aku.

     Pada 2002, syarikat gergasi daripada Korea mula mencipta nama dengan produk-produk elektrik dan elektronik mereka khususnya dalam bidang komputer riba dan telefon bimbit. Zaman smartphone pada ketika itu masih belum meluas, dan Samsung masih bergerak ke arah memonopoli bidang tersebut pada ketika itu. Sehinggalah aku ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran melalui biasiswa penuh kerajaan sebaik sahaja tamat SPM, aku menerima tawaran tersebut tanpa berfikir panjang samada Korea ataupun matrikulasi. Sungguh, ibuku amat sedih kerana tidak memenuhi impiannya untuk melihat anak sendiri di depan matanya, belajar di institusi di mana dia bekerja. Namun, keinginan sejak di bangku sekolah boleh aku capai sekarang, dan aku percaya tidak akan datang lagi peluang seperti ini dalam hidup aku. 

     Hati ibu mana yang tidak sayang akan anaknya. Aku faham ibu pasti akan bersedih menahan rindu berjauhan dengan anaknya yang satu ini. Ditambah dengan aku yang terkenal sebagai 'rebellious' di kalangan adik-beradik yang lain. Aku cuma ingin merealisasikan impian aku. Namun, adakah keterlaluan sekiranya aku melawan arus kehendak ibu bapaku semata-mata untuk mencari jalan kehidupan yang sedikit berbeza dengan apa yang kakak-kakak dan abang-abang pernah lalui? Ditambah dengan peluang untuk pertama kali menaiki kapal terbang, dengan menggunakan peluang yang diusahakan sendiri ini? I can't ask for more. This is the best thing to happen to me for now.

     Ketika di lapangan terbang KLIA jugalah aku merasai pelukan ibuku setelah sekian lama tidak berbuat demikian. Begitu juga dengan ayah. Aku yang selama ini merasakan seperti 'black sheep of the family' sering menolak untuk beramah mesra dengan ahli keluarga aku lebih daripada yang biasa. Pelukan seorang ibu yang bakal rindukan aku jauh dari mata, rupa-rupanya adalah yang pertama selepas aku pergi meninggalkan rumah pada usia 13 tahun untuk belajar di asrama penuh. Betapa khilaf dan ralat apabila aku kenang kembali di dalam pesawat yang hanya seminit dua sahaja lagi akan berlepas ke udara.

     


     "Bro, buka jerlah seat belt tu. Dah lepas dah ni. Apa mahu risau lagi." Teguran berunsur gurauan memintas lamunan aku. Masih janggal aku dengan peraturan keselamatan di dalam pesawat ini. Kusangkakan naik kapal terbang dikehendaki memakai sentiasa talipinggang keselamatan seperti memandu kereta. Dah macam 'perak' pula aku ini, bak kata loghat orang Kedah. Sambil tersenyum aku pun melepaskan ikatan tersebut, dan memandang ke sekeliling ruang kabin. Bermacam-macam gelagat dapat dilihat. Lampu am sudah ditutup memandang waktu tengah malam, tetapi rakan-rakan seangkatan kelihatan masih belum tidur kebanyakannya. Risau juga kalau-kalau kami menjadi punca tidak senang penumpang lain. Aku bersandar semula ke kerusi aku, betul-betul di tepi tingkap. Kelihatan dua orang Korea sudah lena diulik mimpi pada barisan hadapan aku. Pasangan suami isteri, atau kekasih ya, getus hatiku. Meskipun dalam tidur, mereka berdua nampak tenang dan seperti pasangan muda yang sedang lena dalam mimpi indah percintaan. Aku tersenyum keseorangan melihat mereka.

     "Dah senyum sendiri lah pula kau ni. Sejak dari tadi aku tengok kau ni makin pelik. Cuba cerita sikit apa masalah kau ni Mus," rupa-rupanya ragam aku diperhatikan sedari tadi oleh Hazrul. Aku hanya tersenyum. Dia duduk di kerusi bahagian tengah dan paling dekat dengan aku dan seorang lagi rakan di sebelahku, Muzamil.

     "Kau nak tegur aku ke si Muslim ni? Confuse pula asyik sebut Mus, Mus. Come on lah. Aku Muz, dia Firman. Panggil dia Fir atau Man okay? Muz dari aku dalam perut mak aku lagi dah dicop khas untuk aku."

     "Ya lah Muz, ambillah. Aku pun dari dalam perut lagi ibu aku dah pesan jangan guna nama Mus, sebab nanti gaduh dengan  kau tak habis." Kata-kataku disahut dengan ketawa besar kami bertiga. Seloroh tersebut rupa-rupanya menarik perhatian beberapa lagi rakan lain untuk turut serta. Aku mula rasa kurang senang, bimbang penumpang lain turut terkesan dengan perbualan kami.

     "Alah kau ni. Macam kau tak tahu sebab apa Fir senyum macam kerang busuk tadi. Dia teringat dengan chinggey dia lah tu. Pencinta setia PLKN yang satu." Lagi terbahak-bahak ketawa barisan kami kali ini. Aku yang merisaukan gangguan terhadap penumpang lain turut ketawa kerena meskipun mereka mentertawakan aku, gurauan tersebut memang masuk dengan cara aku bergurau senda. Tiba-tiba, kedengaran bunyi shuush dari barisan paling hadapan di ruang ekonomi ini. Kami mengambil langkah berdiam diri kerana masing-masing mula sedar kami telah mengganggu mereka yang lain.

     Dengan nada separuh berbisik, aku pun berkata,"Kamu semua jangan nak seronok sangat lah. Aku bukan fikirkan pasal itu pun. Untung-untung dapat awek Korea pula nanti." Rakan-rakan lain hanya tersenyum sinis dengan kata-kata aku. In your dream, bro. Not in a chance. Itulah yang dapat aku tafsirkan daripada senyuman rakan-rakanku.

     Aku membelek jam tangan. Baru pukul 1:25 pagi. Entah sudah di mana perjalanan ini sudah dilalui. Masih di Malaysia, atau sudah menuju ke Vietnam. Masa pada jam ini bakal berubah setibanya kami di sana nanti. Aku tidak dapat tidur. Kegembiraan dan perasaan tidak sabar untuk pertama kali menjejak kaki ke luar negara semakin terasa. Alang-alang pengalaman pertama naik kapal terbang, celikkan mata sahajalah niatku. Aku membuka lampu persendirian di atas kepala, lalu kucapai buku yang terselit pada beg sandang yang kuletak di bawah kerusi penumpang hadapan. This is the time for my beloved 'me time', I guess.

     Buku berkulit tebal berwarna hitam, kosong tanpa lakaran lain di muka buka. Permukaan kulit seakan-akan baldu lembut. Peneman malam hari aku. Setiap karya, pengalaman harian, dan apa sahaja yang aku imaginasikan ditulis selengkap mungkin ke dalam buku ini. Buku diari? Mungkin. Aku lebih selesa memanggil buku ini, Ilham. Melalui ilham dalam hati dan pengalaman yang pernah dilalui sepanjang hidup, buku ini menjadi peneman malam-malam sepi yang aku dambakan ketika gembira, yang aku coretkan rasa hati ketika sedih, yang aku 'senikan' bait-bait indah di kala rindu. Menjadi rutin sejak aku berusia 16 tahun, tanpa jemu. Ini adalah jilid ke 3, seiring tiga tahun aku memulakan 'me time' aku ini.

     Maka, bermulalah lembaran baru dalam hidup aku. Bermula di atas kapal terbang ini pada 1 Mac 2007, aku buka helaian baru untuk aku coretkan segala yang terbuku di hati, dan sudah pasti aku mulakan dengan pengalaman hebat tetapi sunyi di hening malam ini bertemankan rakan-rakan yang juga seperti aku, ceria dan gembira ke destinasi yang sama.

Firman Muslim
1 Mac 2007
MH014
                                                                                                                                     


Comments