Nama Diberi....

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua. Kata-kata mulia pembuka bicara, sebagai pembuka kepada segala ilham dan karya yang sudah lama terbuku di minda, terperosok tanpa guna di dalam memori semulajadi kurniaan Ilahi ini. Nukilan pertama ini bukanlah satu karya, ilham, atau nukilan memori/kenangan yang ingin dikongsi bersama pembaca. Namun, izinkan penulis membuka ruang ini dengan bacaan santai berkenaan diri penulis terlebih dahulu, memandangkan penulis hanyalah penulis picisan tanpa sebarang latar belakang penulisan, latihan, atau cita-cita besar untuk menulis sebelum ini.

   Ahmad Tawfiq bin Abd Aziz. Nama yang diberi oleh ayah dan emak. Tidak pernah penulis bertanyakan kepada ayah atau emak hikmah di sebalik pemberian nama tersebut. Malahan, mungkin namaku dibincangkan dan diambil daripada senarai-senarai nama di dalam buku nama anak Islam yang disimpan rapi di dalam rak buku mereka, seperti yang kulihat ketika proses pemberian nama adik bongsuku pada tahun 1999. Jika hendak difahami konteks namaku (mengikut definisi yang aku fahami), Ahmad bermaksud yang terbaik, sebagaimana terbentuknya nama junjungan kita Rasulullah SAW, Muhammad. Tawfiq pula selalu kita dengar digandingkan bersama dengan hidayah dalam konteks ayat untuk menjelaskan tentang konsep pemberian ilham, idea, atau pengurniaan hijrah ke arah yang lebih baik daripada Allah SWT. Pada kefahaman aku, hidayah adalah hak Allah. Maksudnya, pemberian ilham dan perubahan kepada diri seseorang itu adalah mutlak atas kehendakNya, samada seseorang itu sebelumnya fasik kemudian berubah menjadi alim, contohnya. Atau keinginan untuk mengenali Ad-Din dengan lebih dekat oleh seorang lelaki/wanita bukan Islam sebagai satu lagi contoh. Hak pemberian hidayah itu sepenuhnya milik Allah, dan kita sebagai hambaNya tiada sebarang kuasa untuk mempertikaikan hal tersebut.

   Taufik/Taufiq/Tawfiq pula dalam kefahaman saya adalah juga satu ilham, keinginan, dan perubahan diri yang lebih menjelaskan kepada ilham itu sendiri, dan tidak menitik beratkan konteks pemberian daripada Allah SWT. Maknanya, taufik itu adalah ilham yang datang daripada hati untuk seseorang itu melakukan sesuatu terhadap sesuatu perkara. Namun, ilham tersebut adalah dalam bentuk abstrak, manakala pelaksanaan itu terletak sepenuhnya kepada tuan empunya diri samada ingin mengobjektifkan ilham tersebut, dengan izin Allah SWT tentunya. Sebagai contoh, si polan itu berasa ingin mengetahui dengan lebih mendalam tentang Islam, tetapi beberapa kekangan yang menghalang daripada dia untuk berbuat sedemikian. Isu keluarga dan masa sebagai kekangan, misalannya. Dalam contoh ini, keinginan untuk mendekati Islam itu adalah taufiq, dan juga hidayah daripada Allah, tetapi sekiranya tidak direalisasikan, maka ilham itu hanya bermain di fikiran dan hati semata-mata.

   Begitu juga dengan penghasilan blog ini. Sudah bertahun-tahun aku memasang angan untuk menghasilkan dan mencipta ruang agar dapat aku tulis apa yang terbuku di hati, atau apa-apa idea yang keluar ketika aku termenung sendirian. Sejak sebelum SPM lagi aku pernah berhasrat untuk berbuat sedemikan. Namun, baru sekarang ada tindakan daripada ilham untuk berbuat sesuatu terhadap keinginan yang telah timbul lama di dalam hati. Sekiranya pembaca ada membaca tentang pengisian aku sebelum ini, sudah pasti anda tahu bahawa trigger kepada penghasilan blog ini adalah nukilan "Aku, Korea, dan Bunuh Diri" yang pernah aku hantar kepada IIUM Confession-BM dan The Vocket. Ya, cadangan dan sokongan moral pembaca yang tidak aku kenali telah mendorong kepada penghasilan blog ini. Terima kasih.

   Dilahirkan pada satu-satunya hari yang wujud pada tahun lompat, aku ditahan di wad Hospital Daerah Bukit Mertajam kerana dikhuatiri termakan "buangan sendiri" ketika di dalam kandungan kerana agak lewat daripada tarikh kelahiran yang dijangkakan. Emak pula meminta dipindahkan ke wad lain kerana ketika itu, wad bersalin yang disediakan terletak bersebelahan dengan bilik mayat. Sudahlah lahir pada waktu maghrib, duduk pula dekat dengan tempat yang seram. Maka, membesarlah aku sebagai seorang anak yang baik fizikal dan mentalnya kepada pasangan Abd Aziz Tajuddin dan Zailan Mansor. Aku bukanlah yang pertama, dan juga bukanlah yang terakhir. Aku anak ke-6 daripada 9 adik beradik.

   Sepanjang kehidupan aku, satu perkara yang aku sedar tentang diri ini. Aku mempunyai keyakinan diri yang tinggi, dan kadang-kadang membuatkan aku terlalu yakin sehinggakan lalai di saat akhir. Inilah kelemahan aku, dan juga kekuatan yang perlu aku bina sebagai kelebihan untuk menghadapi hidup di dunia ini. Sudah terdapat banyak bukti tentang ini, lebih-lebih lagi dengan terjadinya beberapa perkara dalam hidup aku. Semua ini akan aku ceritakan pada nukilan-nukilan mendatang. Bagaimanapun, aku dapat rasakan bahawa tindakan aku dan disokong dengan keyakinan ini ada kaitnya dengan nama yang telah diberi kepada aku. Aku bertindak melalui gerak hati aku, dan terus menerus bergerak ke arah itu walaupun tahu dugaan di hadapan banyak menanti. Salah satu contohnya, aku mengambil keputusan untuk memohon tajaan biasiswa JPA untuk melanjutkan pelajaran ke Korea Selatan, walaupun mendapat tentangan emak kerana dia tahu siapa aku, dan risaukan aku jika berjauhan dengan mereka. Mereka lebih selesa jika aku teruskan dengan matrikulasi di tempat emak bekerja, agar mudah untuk mengawasi tindak tanduk aku.

   Aku tetap memohon tajaan tersebut setelah merayu kepada emak bahawa inilah permohonan pertama dan terakhir aku untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara, Alhamdulillah, aku berjaya mendapat tempat untuk tajaan selepas proses penyerahan dokumen dan temuduga di Sungai Petani. Aku ada dua pilihan, samada ke Korea Selatan atau ke matrikulasi tersebut. Pemilihan amat mudah bagi aku, walaupun emak sudah minta aku untuk solat istikarah dan hajat supaya dapat menetapkan hati dengan bantuan Allah. Namun, selang satu malam aku sudah memberitahu emak yang aku akan terima tajaan biasiswa tersebut, dan menolak untuk datang ke hari pendaftaran matrikulasi (dijadualkan pada hari Isnin, tiga hari lagi). Emak nampak kecewa, tetapi faham dengan keinginan aku. Aku sahajalah yang belum pernah menaiki kapal terbang dalam sembilan beradik kami, maka peluang untuk 'merasmikan' pengalaman ini sudah tersedia di depan mata. And the rest is history, like mentioned in 'Aku, Korea, dan Bunuh Diri'. Pernah terdetik di hati, adakah kerana memilih sesuatu berlawanan dengan emak membuatkan aku begini? Adakah dengan tidak bertakafur memohon daripada Allah petunjuk ke arah yang terbaik membuatkan aku terjerumus ke jalan ini? Bagaimanapun kesudahannya, aku tetap teruskan hidup. Malah, aku buang jauh-jauh perasaan tersebut kerana aku tahu, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Aku faham yang pilihan itu, aku yang mahu. Akulah penangguh segalanya, walaupun agak membebankan ayah dan emakku.

   Itulah sedikit sebanyak tentang aku, penulis bebas dan solo di dalam blog ini. Diharap pembaca sekalian terus menerus bersinggah dan berkunjung ke blog ini untuk bacaan-bacaan ringan dan santai, sebagai sampingan untuk merehatkan minda anda daripada dunia yang 'berat' dengan pancaroba ini. Dipohon juga bimbingan dan tunjuk ajar sekiranya ada di kalangan pembaca adalah penulis berpengalaman, sebagai sokongan dan pembetulan kepada penulisan penulis yang masih mentah kiranya. Diharap juga pembaca yang berkunjung akan terus jadikan blog ini sebagai santapan minda dan kunjungan berulang kerana anda adalah nadi semangat kepada penulis. Sekian, marilah bersama-sama menuju ke jalan yang diredhaiNya, InsyaAllah.

Wassalam.


Comments