Aku, Korea, Bunuh Diri (Bahagian 1)

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Terlebih dahulu aku ingin mohon maaf jika kisah ini agak panjang dan ayat skema. Terpanggil untuk menulis bila terbaca tentang pengalaman belajar di negara K-pop di laman Facebook, dan aku fikir ada baiknya aku buka pekung di dada berkenaan perasaan aku terhadap orang korea, dan pengalaman aku semasa hidup di sana sebagai pelajar yang gagal graduasi. Pelajar yang gagal di Korea? Jika pembaca nukilan ini adalah bekas pelajar di sana yang akrab dengan komuniti dan pihak kedutaan, pasti tahu kes pelajar gagal untuk graduasi sangat sedikit. Bagaimanapun, itu hanyalah separuh daripada kisah aku di sini. Kisah yang ingin aku tumpukan adalah lebih kepada pengalaman unik yang aku lalui semasa saat-saat akhir pengajian degree aku di Universiti Y, Seoul. Pengalaman melihat kes bunuh diri di hadapan mata. Kisah yang sampai sekarang segar dalam ingatan. Rupa-rupa pelaku, saksi, pegawai emergency medic dan polis semuanya masih segar dalam benak fikiranku.

Korea dan suicide. Dan lesser situation, arak. Negara yang rakyatnya hidup serba competitive. Ditambah saingan dari jiran terdekat yang sangat dipandang dari pelbagai segi; budaya, lifestyle, dan work life. Bagi aku, bangsa Korea sangat bekerja keras dan memupuk hidup striving for excellence. Dari kecil sehinggalah ke alam pekerjaan, tekanan daripada masyarakat(ibu bapa, guru, komuniti) amatlah ekstrim sehinggakan suicide itu menjadi ‘budaya’, atau langkah akhir terbaik untuk penyelesaian masalah. Artis-artis yang disanjung tidak kurang ramainya yang menamatkan riwayat hidup dengan membunuh diri. Jadi, tidak hairanlah di jambatan-jambatan melintasi Sungai Han atau Han River (aku tidak pasti jumlah jambatan, tetapi memang banyak) dikhaskan papan-papan iklan dengan kata-kata positif supaya rakyatnya berfikir dahulu sebelum terjun ke dalam sungai. Life style dan work life yang membebankan adalah salah satu punca besar kepada hal ini, dan aku percaya pegangan agama sangat penting dalam menentukan kompas mentaliti jiwa manusia. Rakyat Korea? Majoriti tidak beragama. Agama hanya pada kertas, banyak kes begitu. Sebut sahaja. Kristian? Buddha? Profesor aku di Universiti Y (universiti pro Kristian) sendiri admit yg dia Katolik, tetapi hanya pada luaran. Cara hidup dan didikan kepada anak? Kosong.

Aku tinggal sendirian di saat-saat akhir pengajian. Senior serumah tamat pengajian di Universiti Y.Extend 2 semester, sukar untuk aku sesuaikan diri dengan kehidupan universiti. Tambahan pula aku melayu lelaki solo dalam batch masuk universiti itu. Sejujurnya aku amat lost dalam pelajaran start daripada semester 3. Lalai? Mungkin. Namun, aku sgt2 ingin clarify yang student oversea ini bukanlah jenis tidak sedar dek untung. Belajar dapat duit banyak-banyak, kemudian wasted. No. Aku sedar fail grad itu petanda aras aku di landasan yang salah, namun banyak kekangan yang aku lalui perlu diambil kira sepanjang hidup di sana. Sebagai contoh, apabila tinggal seorang, mencari rumah sewa amatlah susah (kawasan universiti adalah hotspot rumah sewa). Melainkan ada geng 4 orang, set sama-sama cari 1 rumah. Kos mnjadi kurang. Elaun sara diri roughly RM1800 pada masa itu lepas convert. Sewa bulan rumah one room aku? RM1400+-, tak termasuk bil air elektrik. Masuk elaun saja, beras sekampit telur sepapan jadi target aku. Sepapan itulah sebulan menu. Sungguh. Pengalaman dan memori, ada hikmahnya. Aku pasti itulah yang menguatkan jati diri aku.

Berbalik kepada kes suicide, maka aku ambil keputusan break contract rumah sewa dan menyewa di perumahan yang jauh daripada kawasan universiti aku. Sewa rumah dalam 40 minit jauh daripada universiti. Kejiranan Korean middle dan low-class 40-50an umurnya. Sepanjang semester extend aku menetap di situ. Satu pagi waktu musim luruh, Subuh masih pada waktu biasa seperti di Malaysia (summer subuh masuk pukul 3-4pagi. Bulan puasa summer sangatlah masak dan pishang bagi student. Menduga). Memandang Ahad dan bukan exam week (exam week aku follow korean style, berkampung di library universiti tak balik 2 3 hari), aku decide pergi Family Mart (macam 7E) untuk beli kopi dan roti sebagai sarapan sambil layan movie. Keluar daripada rumah tiada apa-apa yang menarik dan pelik aku rasakan. On the way balik hendak masuk bangunan rumah sewa dalam 20 minit kemudian, aku perasan sesuatu yang pelik di pokok terletak pada hujung bangunan. 10 saat juga aku terpinga-pinga cuba untuk hadam apa yang aku nampak. Kusangkakan replika patung manusia tergantung di pokok, rupa-rupanya…Masya-Allah…

Jarak aku daripada tubuh kaku tergantung di pokok itu dalam 80 meter. Aku memekik ajossi (pakcik) 3 kali dari jauh.Tidak berganjak. Aku? Sama. Tidak berganjak ke depan untuk menolong. Situasi ini amat janggal, mana mungkin aku mampu maju seperti hal ini perkara biasa.
Dengan izi Allah, maka datanglah susuk tubuh manusia lain daripada belakang. Jiran muda yg tinggal di tingkat 2. Dia hanya berlalu tanpa mengetahui apa yang sedang berlaku. Earphone, smartphone. Dunia dan manusia berpisah sementara. Lalu aku menarik tangan mamat Korean ni (Korean A) bila dia mahu naik tangga. Aku tunjuk pokok bergantung kemas manusia itu. Serta merta merah mata Korean A. Menggigil dicapainya smartphone tadi untuk mendail 119. Aku terlalu kaku dan bingung. Tak terfikir langsung akan emergency rescue team.

Dari panggilan kecemasan itu, aku dapat faham yang kami (saksi) hendaklah bertindak dahulu sebelum bantuan smpai. Bibir mamat Korean A menyebut tentang pisau, lalu aku lari masuk ke dalam rumah ambil pisau potong ayam aku. Bermulalah siri kau buat ini aku buat ini. Rescue guider dalam panggilan minta seorang potong tali gantung, seorang lagi sahut badan mangsa. Di pikiran aku,sudah pastilah potong tali. Kau sanggup peluk badan kaku entahkan hidup entahkan mati? Tidak sama sekali. Malangnya, Korean A dengan pantas mengambil pisau daripada tangan aku dan berkata, “Ready. Dalam kiraan 3, aku potong ko sambut.” I am like, this guy, really… Lalu aku hanya mengangguk dalam paksa. Sampai kiraan 3, tali yang dipotong tak putus. Oh, pisau tumpul, bisik hatiku. Lalu aku hanya menunggu, dan…

Debuk!!! Aku tak expect yang tali itu akan putus dengan cepat. Aku tak sempat sahut badan ajossi tu. Terjelepuk badan kaku itu ke tanah. Darah luka keluar di kepala akibat hentakan kuat dengan batu tanah. Aku pandang Korean A. Aku tergamam lagi dan rasa bersalah sebab tak sambut badan pak cik itu. Korean A dah berair mata dan berlari ke rumah bertentangan dengan rumah sewa aku. Aku ikut dia lari, seperti lembu dicucuk hidung. Rupa-rupanya mamat tu dah dapat kenalpasti identiti mangsa. Diketuk pintu rumah tersebut. Keluar seoanrg lelaki, linkungan 30-an, tak terurus rambut (pagi weekend, perkara biasa). Ditanya kepadanya adakah ayah ada di dalam rumah. Dijawab tiada. Lalu Korean A tersebut menangis sambil menunjukkan arah pokok lokasi kejadian yang terlindung daripada pandangan lelaki 30-an itu (aku panggil korean B). Pantas korean B berlari ke tempat kejadian menjerit-jerit dan memanggil ayahnya. Menangis dan melaungkan ayat berulang-ulang kali, “ayah, kenapa buat camni.kenapa?kenapa?” sambil mengetuk dada ayahnya. 10 saat kemudian dia mulakan CPR, mungkin sudah terkawal emosi. Isteri mangsa juga keluar melihat dan mengambil pisau pemotong tali milik aku. Dibawa masuk rumahnya dan dibuang. Nampak lebih tenang berbanding anaknya. Aku bingung. Pisau aku kenapa dia yang uruskan dan buang.

15 minit kemudian bantuan kecemasan sampai. 1 ambulans, 2 kereta bomba, 1 kereta polis. Scene yang hanya dapat ditonton dalam TV dan drama. Kerja prosedur menyelamat medic rescuer berjaya mengembalikan nafas mangsa, lalu dikejarkan ke hospital untuk rawatan kecemasan lanjut. Aku dan Korean A disoal siasat polis. Melihatkan aku seorang foreigner, aku bagai disisihkan dan banyak soalan lebih kepada Korean B (mungkin dia ingat kena speaking. Padahal aku boleh ckp Korean kot). Maka pagi itu kembali tenang seperti tiada apa-apa yg berlaku. Aku jadi pelik. Jiran lain macam tengok-tengok, then berlalu pergi selepas semua anggota penyelamat bersurai. Like this was normal. Satu perkara yang aku tahu, ini tidak normal buat aku. Petangnya dikhabarkan oleh anak mangsa yang ayahnya mati dalam perjalanan ke hospital. Jasad masih ampuh, namun jiwa mahu pergi. Sehebat manapun rescue team, mental lemah apapun tak jadi.

Malam itu, aku mimpi babak-babak suicide tu berulang lagi. Muka pucat, badan kaku ajossi tu bermain lagi di dalam mimpi. Aku bangun mengejut dan terus tak tidur. Esoknya ponteng kelas. Teruk perangai? Aku tak boleh keluar rumah. Mayat tak ada, tetapi pokok tu masih di situ. Maka berlalulah isnin itu tak ke kelas, tak makan, hanya berselubung selimut. Aku trauma dan fobia.

Selasa. Aku perlu buat sesuatu. Kelas kena pergi. Kena bar satu hal pula menjawab di kedutaan (pegawai latihan in charge student masa tu sangat garang, strict tetapi bagus. Kepimpinan beridentiti). Bayangkan. Keluar rumah berlari sekuat hati tutup mata. Balik rumah lewat malam supaya tak nampak kelibat pokok tu dalam gelap malam. 3 hari straight rutin aku begitu.

Kejadian itu ajar aku banyak perkara. Aku masa tu lalai dari segi agama. Solat kadang-kadang penuh, kadang-kadang tinggal. Lepas pada tu aku solat dan bnyak baca Al-Quran. Syukur, 2 minggu lepas tu aku berjaya overcome trauma tu. No more nightmare, pokok tu pun tak ‘berhantu’ dalam fikiran aku. Mulanya kisah ini dimaklumkan kepada pegawai latihan tu supaya dapat pindah rumah, tetapi terus cancel plan. Namun, itu tak merubah situasi aku yang tak dapat cope dengan student life di universiti tu. Imigresen Korea reject extend visa, pihak universiti tolak rayuan luluskan 1 subjek yang aku gagal tu (grading tertakluk penuh kpd lecturer. Lecturer tu kata fail, universiti tu pun fully support decision).

Maka mengadaplah aku ke pegawai latihan tu di kedutaan Malaysia. 2 3 sesi aku jumpa dia, maki hamun je aku dapat. Aku numb. Hadamkan situasi tak dpt graduasi pun susah, nak hadam kata-kata negatif daripada sekeliling? Hanya 1 ayat yang aku ingat daripada beliau. “Nasib baik ayah kamu mampu. Kalau tak nak jadi apa balik Malaysia? Jual burger?”

Seminggu sebelum balik Malaysia for good, adik aku yang study di india pun datang melancong. Mak aku izinkan dan pesan tengok-tengokkan aku. Naluri ibu yang kuat. Anak susah hati jauh-jauh boleh tahu. Adik aku ikut mana sahaja aku pergi. Dia cakap jangan buat benda bukan-bukan. Sebab aku penah cerita kepada mak aku tentang suicide kat kejiranan itu, jadi mak aku risau dan pesan adik aku monitor keadaan aku. Sesi terakhir jumpa pegawai kedutaan tu aku bawak adik aku sekali. Orang bawak family melancong jalan-jalan, aku bawak adik aku mengadap musibat yang berpunca daripada aku sendiri. Malam tu kami menangis sama-sama mengenang nasib aku dan kata-kata ‘tajam’ di kedutaan.

Adik aku flight balik malaysia lagi awal daripada aku sebab aku pospone flight, hendak urus hal balik for good. Dia hendak pospone flight juga sebab masih risau dan tak yakin dengan condition aku. Aku janji dengan dia jumpa di Malaysia nanti. Maka 3 hari terakhir di sana aku abiskan dengan muhasabah diri dan banyak berjalan menatap bumi korea yang hampir 6 tahun menjadi kediaman utama aku. Jujurnya, aku rindukan negara sonata itu bukan kerana bnyak kemudahan berbanding negara sendiri, tapi kerana aku rasa negara itu sangat berpotensi jika ‘jiwa-jiwa’ rakyatnya lebih dekat kepada agama. Mereka dipandang tinggi di mata dunia dari aspek pendidikan, teknologi, sukan, dan sebagainya. Malang, jiwa mereka ‘kosong’. No real purpose of life. Bangun, kerja/belajar, balik, minum arak, tidur. Kemudian ulang. Rasa hidup susah, suicide.

Di kesempatan ini aku ingin mengucapkan tahniah dan berbangga kepada kelompok student malaysia di korea yang komited dengan komuniti muslim di sana. Turut serta dalam program Nuri, dakwah islamiah di masjid-masjid untuk memperkenalkan islam kepada local people. Aku rasa khilaf. Sepanjang di sana aku tak join benda-benda ini, even aku datang daripada keluarga yang mengamalkan pendekatan usrah. Aktiviti yang lebih kepada kekitaan dan keseimbangan dunia akhirat, berbanding hanya aku dan dunia aku. Kegagalan aku di sana aku jadikan teladan untuk masa kini dan hadapan. Moga-moga kesudahan kita tidak dengan cara suicide seperti ajossi tu, nauzubillah. Aku doakan komuniti malaysia di korea kekal akrab dan harmoni seperti selalu. Nasihat kepada junior di sana, teruskan perjuangan dan jangan terpesong daripada core business kita, belajar dan berbakti kepada mana-mana antara berikut: ibu bapa, keluarga, bangsa, dan agama. Pegang kepada kompas hidup anda. Jika terpesong, tanya kepada yang di atas sana. Di mana jalan kembali.




Comments

  1. bro, stay tough! terima kasih krn menulis! well read~

    Heng Chiang aka Bradley Rainfield kat fesbuk, Batch 85

    ReplyDelete
    Replies
    1. waa 선배님 juga datang mau baca. tq bro~~ bila free I update lagi ya~

      Delete

Post a Comment